Thursday, November 25, 2004

cill dan fajar

reallifegoeslikethis

Mencari makna Diri


cillcrusader: adakah dengan membuka aib ini, masalah akan selesai?
cillcrusader: atau cuma menghilangkan beban di dada
cillcrusader: namun menambah dosa di neraca?
cillcrusader: ia berkaitan dengan ibu bapa saya
cillcrusader: dengan Humaira
cillcrusader: sampaikan doktor saya
cillcrusader: juga universiti sendiri
cillcrusader:
cillcrusader: kadang-kadang kelakar bila memikirkan
cillcrusader: universiti pun boleh berpura-pura
cillcrusader: (tapi di dalamnya tentulah manusia juga)
cillcrusader: .....
cillcrusader: ketidakpastian
cillcrusader: saya positifkan perkataan itu dengan:
cillcrusader: HARAPAN

fajaril: tp, itulah hidup..
fajaril: adakalanya ia seakan begitu mudah
fajaril: tp, dlm mudahnya ia, terlalu kompleks

cillcrusader: ya
cillcrusader: kerna di situ tawakal berada

fajaril: jgn biarkan kita dibunuh dgn prasangka

fajaril: kita cuba mencari kesempurnaan...
fajaril: sbb itu, kita masih terasa kekosongan
fajaril: kita ini cuma manusia
fajaril: kebenaran itu mmg ramai yg sedia maklum...
fajaril: cuma, mereka tidak menghayati
fajaril: spt, kita tahu mati itu benar
fajaril: syurga itu benar
fajaril: neraka itu benar
fajaril: tp, berapa ramai yg endahkan ttgnya
fajaril: moga2 kita di dalam rahmat-Nya agar sentiasa bertakwa

cillcrusader: lalu sy teringat kisah gelas separuh terisi
cillcrusader: separuh terisi; atau separuh kosong?
cillcrusader: lihatlah pada mata yang melihat
cillcrusader: bagi saya
cillcrusader: lihatlah ia separuh terisi; bila ketidak cukupan kita rasa
cillcrusader: lihatlah ia separuh kosong: bila ke'riak'an yang kita damba



__________________________________________________________________________


Tentu kalian pernah berbual. Manusia semuanya hari-hari pasti akan bercakap lebih daripada 10 000 patah perkataan. Mungkin dikecualikan kalau kalian ini berada di pulau tanpa orang. Atau berada di dalam kubur..

Bahkan si bisu berkomunikasi dengan tangan. Si pendiam berkomunikasi dengan tulisan. Bercakap dan bersembang itu adat dalam kemanusiaan.

Tulisan saya dalam. Ayat saya juga selalunya dalam. Sampaikan emma tegur saya :

Jangan kritikal sangat dalam berbahasa. Ayat awak bersimpang-siur,peningkan saya. Buat saya malas fikir

Tipulah kalau saya katakan yang itu tak disengajakan. Ia tabiat, namun memang saya mengarah mulut saya mengatakan sesuatu yang berlapis-lapis maknanya.


Saya mencari makna diri. Apa tujuan saya di sini. Bukan sekadar suatu fahaman lekat di kepala malahan suatu kefahaman pahat di hati.

Namun saya di dunia sebenar tidaklah 24 jam begini. Dulu Din dan Cill adalah dua manusia yang benar-benar berbeza. Di alam fizikal, saya Din yang ceria, yang 24 jam membuat kelakar dan tak berhenti-henti bercakap. Sedang Cill pula sangat pesimis orangnya. Kata-katanya menimbulkan prasangka pada hati yang yakin, membunuh harapan pada mereka yang hidup.

Sekarang, saya ada dua-duanya. Alhamdulillah syukur pada Dia kerana saya sudah mampu bercakap yang baik-baik kepada manusia di alam nyata dan pada masa yang sama, tidak kehilangan sense of humour.


Bukan saya tidak mahu bercakap hal yang besar-besar. Tapi saya dah bosan. Bosan dengan dunia yang mencari hati di alam fizikal lalu dia lupa bahawa hati itu ada di dalam diri. Bosan dengan manusia yang berpura-pura; menyalahkan dunia atas kesialan dia.

Kita ini insan. Pelupa. Lupa siapa kita, dan hendak ke mana. Lupa asas hidup dan terus lupa pada yang seterus-terusnya. Namun luarbiasanya, kita masih mahu berpura-pura. Berpura-pura kita berada di jalan yang lurus. Kita sudah jauh, namun bilamana ada yang datang menegur, kita memaki hamun dengan sejuta sumpah seranah. Di mulut, atau di hati, sama saja. Kerna tuhan tahu segala-galanya.


Sudah bertahun-tahun saya sakit. Sudah bertahun-tahun saya mencari diri. Dan sehingga hari ini, saya cuma menjumpai secebis daripadanya.


------------------------------------

Tiada gunanya manusia, jika mereka tidak berguna pada yang lain

-Albert Einstein.

Definisi Kritik bagi saya adalah Suatu teguran yang berintuisikan semangat untuk membaiki pihak yang ditegur dan cadangan yang diberi itu mempunyai nilai guna dalam konteks pihak yang ditegur.

:)

Ringkasnya, kritik mestilah 1. mempunyai semangat mahu membaiki, 2. cadangan yang diberi berguna, 3. berguna dalam konteks pihak yang ditegur.

Jadi, bagi saya kritik dan kutuk dibezakan oleh tiga faktor ini. Ia garis halus tentunya dan tidaklah mudah untuk dibezakan.

Contoh:

Bodohlah hang ni. Belajar tak pandai-pandai

Ini adalah kutukan. Walaupun mungkin si penyindir berniat baik, namun ia tak mempunyai bahkan 'semangat mahu membaiki'.

Hang ini bebal, jadi belajarlah lagi rajin

Ini masih kutukan. Cuma ia sudah mempunyai ciri kritikan tahap pertama. Ia mempunyai semangat mahu membaiki: Belajarlah rajin-rajin.


Yang paling mnyusahkan dalam konteks 'kritik dan kutuk' ini adalah 'memberi cadangan yang berguna dalam konteks yang dikritik'.

Sememangnya hari-hari kita akan mengkritik orang. Namun adakah kritikan kita benar-benar membina? Kritikan yang berguna adalah cadangan yang boleh digunapakai oleh dia, bukan kita. Masalah ini nampak kecil, namun sebenarnya besar. Ketidakmampuan mengkritik dengan betul mempengaruhi bahkan polisi sebuah negara.

Contoh:

Amerika sepatutnya tidak jalin hubungan dengan Israel

Memang. Memang itulah sepatutnya. Tapi adakah Amerika mempunyai alternatif lain? Adakah pihak lain yang se'gah Yahudi dalam melobi pasaran antarabangsa. Pemodal yang tidak kering duit dan tidak kering idea. Pernahkah kita mendekati Amerika, lalu memberikan cadangan lebih bernas? LEBIH BERNAS DARIPADA YAHUDI DALAM MEMBAIKI AMERIKA?


Kadang-kadang saya rasa kasihan, kadang-kadang saya rasa diperbodohkan. Apabila manusia mengkritik orang, tapi sebenarnya mahu melepaskan tanggungjawab yang telah diberikan pada dia sebenarnya.

Kerajaan 'mengkritik' rakyat. Rakyat 'mengkritik' kerajaan. Atau sebenarnya semua mahu lari daripada tanggungjawab?




:) Ini soal politik, ekonomi dan sosial kata engkau. Tiada kaitan dengan hati yang suci.

Sunday, November 21, 2004

real life goes like this

reallifegoeslikethis


(Semuanya saya edit kembali. Saya tidak ikhlas, keliru dan sendiri runsing. Lalu saya sumbatkan semua itu ke dalam tulisan saya. Ditambah lagi keegoan saya untuk mengatakan 'aku tahu!'. Sesungguhnya tertipulah orang yang mencari kebenaran tanpa kesabaran- Al-Asr)


Hari-hari yang serupa


Quote:

" Saya tulis dalam Guestbook :

'Pernah rasa tak, kehidupan yang anda lalui adalah kehidupan semata-mata. Setiap hari bangun pagi, anda tak berfikir apa-apa kecuali memenuhi tugas sepanjang hari tersebut. Tiada harapan, tiada risau. ' "



Dunia macam internet. (Ini bidalan yang tak masuk buku). Dunia penuh dengan kelakuan, idea, perkataan dan macam-macam hal yang lagi yang tak tertafsir hinggakan ia jadi sendat. Itulah dunia. Tak semua yang disuap pada anda ada maknanya, ada maksudnya kerna kekadang ia sekadar halangan-halangan sampingan daripada Tuhan.....

____________________________________________________________________


Bagaimanakan mampu saya menjawab soalan orang sedangkan saya sendiri jua pening? :) Ya, saya tersengih. Tersenyum dan kadang-kadang mahu saja gelakkan diri sendiri yang makin lama makin keliru.

Realiti pahit. Pahit dan sukar. Sakit dan kejam (kalau itulah perkataan-perkataan supaya kalian rasa pedihnya). Untuk hidup saya, manusia di sekeliling saya memilih untuk BERHARAP tetapi tidak mahu hidup dalam realiti.

Saya mungkin hidup dan saya mungkin mati. Lagipun kan kalian juga kata bahawa mati itu benar?




2 tahun saya juang sendiri. Ya, ada manusia di belakang menyokong. Saya tahu, saya hargai dan saya sayang mereka. Tapi adakah mereka benar-benar menyokong? Tahukah mereka apa yang mereka sokong? Atau mereka sekadar menunggu saat saya salah dan nanti boleh mereka persalahkan saya?

Ramai yang cuma mahu salahkan saya. Heh. Saya ini devian. Saya melawan arus. Dan kebanyakan mahu lihat saya jatuh, rebah dan tergolek supaya mereka boleh katakan:

Aku dah cakap.

Apa yang mereka cakap? Entah. Mungkin mereka rasa mereka dah cakap: Kau buat ini salah.

Mana mereka tahu salah? Sebab hasilnya bukan seperti yang mereka hendak?




Mereka keliru. Lalu mereka pindahkan kekeliruan mereka pada saya. Sama saja. Sama seperti mereka berharap. Mereka berharap, tetapi mereka tak sanggup memenuhi harapan mereka. Lalu mereka pindahkan ke bahu saya.

Hari ini saya sedar, saya membawa bukan setakat harapan orang, malahan kekeliruan orang. Kekeliruan mereka dengan dunia sebenar kerna mereka hidup dalam tukun tiruan. Mereka hidup dalam dunia selamat. Jadi bilamana dunia saya penuh kacau bilau dan masalah, mereka tak dapat terima bahawa wujud dunia seperti ini.

Dunia mereka semua jelas. Yang baik kekal baik. Yang jahat kekal jahat. Dalam dunia mereka, Bush itu gila. Sharon itu jahanam. Dan mereka tak faham kenapa semua orang begitu mementingkan dunia. Dunia mereka serba indah. Mereka bangun, mandi, makan, kerja dan tidur dalam kawalan mereka sendiri.

Ehmm.. Dunia saya dunia orang 'sengaja susahkan diri'. Sebab dalam dunia saya, yang baik boleh buat jahat. Dan yang jahat boleh buat baik. Sebab mereka manusia. Dunia saya mengakui kesialan Bush dan Sharon tapi kalau tak kita yang lemah, siapalah mereka untuk menindas? Dunia saya dunia 'hidden agenda'. Tiada demokrasi tulen kerna media terlalu berkuasa. Hidup kita sebenarnya dikawal secara tak sedar. Kalau tak, kenapa mesti kalian baca berita juga kalau kalian katakan yang: Amerika mereka-reka cerita?



Itulah realitinya. Tentu sekali sakit nak mengatakan yang kita sedang diperbodohkan, dipergunakan dan langsung tak sedar. Namun itulah hakikat.

Kalian tak perlu hukum aku ini pesimis. Atau aku ini manusia yang tak nampak harapan.


Belajar membezakan, kalian. Tolonglah. Kerna kalau tiada harapan, untuk apa aku berusaha? Untuk apa?

Jujurlah. Tak faham atau tak tahu, katakan saja. Aku ini bukan manusia yang suka membedal sesuka hati aku saja. Namun jika kalian terus berangan-angan dan mahu menipu diri sendiri, aku pun sudah tidak tahu mahu katakan apa lagi.


Saya sayangkan kalian. Tapi saya pun tahu bosan dan letih.


________________________________________________________________________

Saya bilang sama Fajar (fajaronline.com):

Ketidakpastian. Saya positifkan dengan nama: HARAPAN

Saturday, November 20, 2004

mytheory7

Harapan: Polemik atau Kebenaran?


Kalian pernah berharap?

Saya pernah. Saya tak tahu kalian.

Dulu sewaktu kecil-kecil saya berharap untuk menjadi superhero. Bilamana sudah masuk Sekolah Rendah, saya berharap untuk menjadi askar, atau polis atau komando. Bilamana sudah masuk Sekolah Menengah, saya berharap pula untuk menjadi doktor atau pakar itu ini atau pemimpin orgnanisasi.

Sekarang? Saya cuma berharap bahawa harapan itu wujud.

Samada saya ini pesimis,atau saya ini skeptik atau saya ini bodoh sebenarnya tidaklah jelas. Cuma saya benar-benar mencari di manakah letaknya harapan itu.

Adakah harapan itu datangnya tiba-tiba, tak tersangka?
Adakah harapan itu sebenarnya juga perlu dicari, juga tersembunyi?
Atau harapan itu cuma alasan, untuk menyenangkan diri, bahawa semuanya akan jadi elok saja?



Lama saya berfikir tentang topik ini. Dulu saya adalah manusia paling benci berharap. Bagi saya bodohlah manusia yang berharap, kerna manusia diberi kuasa untuk mengubah. Rakan-rakan saya kata: Kau ini tidak percaya tuhan?!

Maka berhujahlah mereka (semuanya di sekeliling saya) tentang Qada' dan Qadar dan segala macam lagi tentang kebesaran Allah Subhananu Wataala. Dengan harapan saya akan kembali jadi seperti mereka; kembali berharap.



Entahlah saya yang dipandang bodoh atau merekalah yang dungu sebenarnya. Tentu saya tahu tentang semua itu. Cuma bezanya saya suka mendalami sesuatu hal sedang mereka lebih gemar bermain di gigi air sahaja.

Saya tahulah Allah berkuasa. Dan tentulah saya beriman denganNya. Kalaulah tak kerna Dia, tak adalah idea saya dan tak berbuat apa-apalah saya. Cuma saya merasakan bahawa mereka yang berharap ini:

1. Suka benar meletakkan kesalahan di bahu orang aka Malas berusaha dengan sungguh-sungguh.

2. Menjadikan tuhan semacam hamba mereka pula; sewaktu rasa gagah, konon boleh buat semua.. namun bila sudah letih atau putus asa, dengan senangnya mengatakan bahawa : Kita hanya mampu berharap




Manusia sungguh munafik. Mereka berpura-pura dengan wajah kebaikan bila mereka mahu dan bilamana putus asa, mereka pindahkan pula kesedihan dan kelemahan itu pada tuhan. Lebih jahat, mereka bertopengkan pula dengan nama: manusia yang reda dengan takdir tuhan.

Maksud saya: Bilamana mereka tak larat, beria-ria mengatakan itulah takdir tuhan. Dan berlagak seolah-olah merekalah paling baik kerna akur dengan takdir tuhan

Saya tak mahu jadi begitu. Saya tak mahu jadi munafik. Tak kiralah munafik sedar atau tak sedar.




Cuma 2,3 hari ini sajalah baru saya lebih jelas. Bahawa harapan itu wujud. Cuma dek kerana malasnya manusia, mereka menipu diri sendiri dengan mencampur adukkan harapan dan juga ketidak inginan mereka. Memang di suatu masa, kita akan benar-benar tidak mampu (saya amat benci dengan manusia yang suka menyuruh saya kalah sebelum juang dan meletakkan tuhan sebagai alasan) dan sewaktu itulah kita akan berharap.


Harap seorang Islam adalah doa. Doa seorang mukmin bukan sekadar pada katanya, malah pada lakunya, hatinya. Ini yang penting. Bilamana seseorang berharap (contohnya dalam kes saya: mahu hidup lebih baik), maka lakunya mesti juga ke arah lebih baik dan hatinya juga wajib percaya bahawa keadaan akan jadi lebih baik.

Bukan senang untuk berharap. Saya mahu tegaskan itu. Bahkan ia kekadang lebih payah daripada berusaha itu sendiri. Harapan itu bahkan sendiri perlu dicari.

Apa yang saya maksudkan di sini adalah harapan yang benar, yang ikhlas, yang bukannya kemunafikan diri dek kerana malas berusaha. Harapan yang benar inilah yang kita semua mahu dan cari.



Saya masih mencari. Ya, tak malu saya katakan saya masih mencari harapan. Kerna saya tidak mahu ditipu oleh nafsu dan juga syaitan, malahan surah An-Nas sendiri mengatakan bahawa : saya tidak mahu ditipu oleh jin dan manusia dengan harapan palsu.

Mahu sesuatu yang tidak tahu. Sama seperti budak mahukan machine-gun. Kerna dia menonton tv, dilihatnya machine-gun itu begitu eksotik, begitu hebat. Tapi dia tak tahu bahawa hakikatnya manusia menghilangkan nyawa manusia lain, hidup manusia lain dan juga HARAPAN manusia lain dengan senjata itu.

Harapan yang salah tentu sekali menjurus ke arah keputusan yang salah.

------------------------------


Tentu sekali hidup ini tidaklah merunsingkan benar seperti saya tonjolkan. Tapi ia tak pernah mudah. Sehinggakan jika kalian benar-benar teliti, harapan pun tidak pasti apakah zatnya.

Namun usah pula kepayahan ini membutakan anda akan sebab dan akibat daripada pencarian kita. Ya, kalian boleh berpura-pura ataua berlagak faham semuanya.

Tapi hiduplah terus anda dalam kebodohan dan kemunafikan anda. Seolah-olah masalah semua selesai jika anda RASA ia selesai.

Mencari yang hak itu payah. Mendapatkan harapan itu rumit. Namun insyaallah kelak bilamana anda benar-benar faham hakikat, kalian langsung takkan tergugat.



Orang bodoh runsing jika dia runsing untuk waktu yang lama, tapi tidak peduli jika runsing itu sekejap dan berkali-kali, hingga ke mati.

Orang cerdik? Dia sanggup hadapi kerunsingan yang lama, walaupun tentu ia sakit sekali. Walaupun lamanya itu membunuh jiwa dan menyenakkan kepala. Kerna kelak bila dia tahu kebenaran, dia tidak perlu berpatah lagi.



Delaying Gratification, kelak kita sambung bicara. Insyaallah

Tuesday, November 16, 2004

REAL LIFE GOES THIS

REALLIFEGOESLIKETHIS


Aku dan filem hindustan



Sejujurnya saya tiada keinginan langsung untuk menulis hal-hal begini. REMEH-TEMEH. Hal bodoh dan nampak main-main. Saya tengah serabut! Banyak masalah nak diselesaikan, lagi banyak yang perlu difikirkan. Bercakap pasal hindustan, pasal filem hindi buat kisah saya jadi bukan-bukan, dan lebih menakutkan..
perlu diabaikan


Saya ini pelajar universiti. PELAJAR PSIKOLOGI. Bijak pandai, dipuji, disanjung orang. Menulis bab-bab ini hanyalah menjatuhkan reputasi diri. Saya ini tiap-tiap hari baca buku. Al-Muqaddimah karya Ibnu khaldun dan Al-Umm karangan Imam Syafie cuma teman saya waktu tidur. Apatah lagi setakat novel-novel Dean Kontz atau Kafka. Stephen King cuma bahan ketawa saja. "Tak cukup imaginatif" kata saya.

Mana ada masa untuk saya jiwang-jiwang dan melayan cerita karut. Kita perlu realistik!. Saya ini anti AF, anti Malaysian Idol dan anti segala anti lagi.

Tapi semalam saya tonton filem hindustan. Cerita hindustan bukannya sejam dua, malahan tiga jam. Tiga jam! Oh, alangkah membazirnya masa saya. Saya pun dah jadi bodoh dan bangang juga. Nak lebih terkejut, saya tonton DUA filem Hindustan. DUA. TWO. ISNANI. (Oh, malang sekali saya tak tahu apa panggilannya 'dua' dalam bahasa Hindi).

Dil To Pagal Hei dan juga Kaho Na Pyar Hei (entah betul entah tidak ejaannya). Kenapa dua tajuk itu? Jangan main-main, saya buat kajian.

Sebelum memilih dua tajuk filem tersebut, saya habiskan masa lebih kurang 3 jam melayari internet (dan membazirkan masa lagi). Saya ini kritikal orangnya. Saya telefon beberapa teman wanita yang sudah ditinggalkan. Alasannya: Mengucapkan Selamat Hari Raya. Waktu menelefon itulah saya menanyakan nama filem yang sesuai (Inilah namanya menyelam sambil minum air... masa saya telefon itu memang saya minum air sirap).

Selepas membuat kajian teliti dan telah men short-listed kan senarai filem-filem yang sesuai, saya pun mula mencari filem-filem itu. Sebenarnya Kuch Kuch Hota Hei berada di puncak liga, tapi memandangkan saya pernah menonton filem itu entah 4 atau 5 tahun yang lalu, saya pun meneruskan kepada No 2 dan 3 carta.

Permasalahan lain timbul, mana mahu dapatkan cd? Oh, jangan harap saya mahu keluarkan duit untuk membeli. Keluarga saya (yang berjantina wanita) kurang minat dengan Hindustan, mereka lebih minat melihat telenova. Jadi, saya perah-perah otak dan akhirnya berjaya mendapat seorang sahabat lelaki saya yang punya banyak koleksi Hindustan.

Sekali lagi menyelam sambil minum air, saya melawat rumah sahabat itu sambil meminjam cd. Dan semalam berjayalah saya menonton DUA filem Hindustan! Hebatnya saya :)

Bagi ramai orang menonton Hindustanlah perbuatan paling mudah, paling menyenangkan dan langsung tak merunsingkan. Saya terbalik. Saya jadi gila. Kalau manusia benci berfikir, saya gila berfikir. Apa lagi yang lebih gila kalau tidak menonton sebuah kisah dongeng dengan seribu cerita bohong dan kalian tak dibenar mengkritik?

Tak ramai berani bawa saya menonton filem. Saya ini kaki kutuk. Kalau menonton cerita Melayu dan Hindustan, bahkan rekabentuk cd saya kutuk. Jahatnya saya. Tak bersemangat 'memandang ke timurnya'saya.

Tapi semalam, saya benar-benar menonton DUA filem Hindustan. Tipulah jika saya cakap penuh kerana 8,9 lagu satu filem buat saya hilang plot. Tapi saya benar-benar tonton. bahkan saya tak kutuk, saya menghayati! Dahlah saya tonton malam-malam buta, seorang diri pula. Dahlah dvd The Incredibles menggoda-goda saya, tapi saya tetap setia menonton Hindustan.

Kenapa? Mesti ada alasan? Saya ini raja strategi :)

Sungguh-sungguh saya runsing. Dengan penyakit tak kunjung kebah setelah bertahun-tahun. Dengan pelajaran yang tiba-tiba jadi kelabu. Dengan manusia-manusia yang mahu saya fikirkan tentang mereka. Dengan diri sendiri yang tak putus-putus ditimpa susah dan payah.

Saya jadi pesimis. Saya pandang dunia tak berharapan. Saya pandang setiap balik senyuman, ada niat tak terbaca. Setiap kejayaan, hanyalah menunggu kegagalan. Dengan buku-buku yang berat-berat yang saya baca, kepala saya jadi lebih berat. Penuh idea. Penuh keinginan. Sendat otak.

Saya nak berehat. Saya pulang rumah mahu berehat. Mahu tenang-tenang. Tapi harapan saya tak menjadi kenyataan. Saya ke masjid. Saya berdoa. Saya juga nyanyi :

Tobang satu, robahnya duo. Tobangnya kayu timpo menimpo


Tenangkan hati si hamba Allah. Seperti hati ya Rasulullah.

Saya minta pendapat orang. Tapi ibubapa saya lebih kepada pasif atau bila aktif, mengkritik terlalu kuat. Saya jadi lebih lemas. Saya telefon penasihat peribadi saya, ternyata kami tiada jodoh pula :) Ada saja halangannya. Mungkin sumpahan itu bertukar bentuk pula zaman moden ini :)

Lalu dua malam yang lepas, Humaira menelefon saya. Sejujurnya saya enggan bercakap kerana ingatkan dia buat saya lebih runsing. Buat saya ingat pula yang lain-lain di luar sana. Tapi raikan teman, saya berbual jua. Humairalah yang cadangkan pada saya : Cuba tonton filem Hindustan.

Apa yang saya nampak adalah perkara yang mungkin orang lain takkan nampak. Kerna melihat dengan mata, samada mengkritik atau neutral manakan sama dengan melihat dengan hati.

Apa yang saya cari adalah harapan. Sesuatu yang saya sudah lama tidak percaya. Payah, susah buat saya tak rasa bahawa harapan itu wujud. Bagi saya harapan itu milik si bodoh. Yang bermimpi. Namun lama kelamaan, saya sedar saya perlukan harapan. Saya perlu sesuatu yang mustahil jika ikut akal. Saya mahu kekuatan daripada hati saya. Kerna makin saya keraskan hati, makin kosong rasanya hidup ini.

Luarbiasanya adalah Tuhan mengajar saya melalui hal yang saya paling bencikan. Saya tidak sukakan Hindustan tapi melaluinyalah saya nampak cahaya. Saya rasa lebih tenang. Seolah-olah saya lebih dekat dengan tuhan.

:) Oh, jangan salah faham. Saya tak suruh kalian menonton Hindustan. Saya cuma mahu katakan: Petunjuk itu ada. Dan kekadang kita perlu mencari, bahkan harapan itu sendiri :)

Thursday, November 11, 2004

reallifegoeslikethis

reallifegoeslikethis?

Raya, Puasa, Dia dan Banyaknya Hal Dalam Kepala



Di mana aku?

Di Johor Bahru.

Di mana kampung aku?

Di Kuala Terengganu.

Lalu kenapa kau di sini,bukan di situ?

... Aku tak tahu.


_______________________________________________________________


Kalian beralasan. Seribu.

Ok lah, tambah satu lagi. Seribu Satu.

Tapi kalian tetap salah. Kalian silap. Kalian tak dapat hasil kalian hendak.

Kerna apa?

Kerna kalian benar-benar salah / keadaan menjadikan kalian salah?


__________________________________________________________________


Aku kata cinta itu tanggungjawab.

Aku tak sanggup tanggung. Kau tahulah kenapa..

Kerna aku tak sanggup jawab.

__________________________________________________________________

Kau mabuk, kau rasa resah, kau mengeluh.

Cinta, cinta, cinta.

Suci, murni, tulus.

(Lalu usahlah dekat dengan aku, kerna aku akan kata: Orang mabuk memang begitu.)


_________________________________________________________________

Aku mahu bergerak,
macam air sungai,
lurus,laju dan nyaman.

Aku tak mahu bertakung,
macam air longkang,
busuk, kotor dan pening.


My_theory
Johor Bahru-Kuala Terengganu
10 November 2004
2200


________________________________________________________________________________________


Mahu tulis apa?
Segala-gala.

Bila?
Pada waktunya, masa jiwa tenang,
Fikiran lapang, senyum riang.

Kenapa?
Kerna aku sudah ada tujuan,
hidup.



"... Blog adalah perlambangan mencari diri saya. Saya mencari siapa saya di sini. Saya bermeditasi di sini. Lari ke sini. Blog adalah ubat jiwa saya.

Saya bermula dengan www.upsaid.com/cillc. Saya bermula di saat dunia mengatakan itulah akhir saya. Saya bermula dalam awan-awangan. Dalam harapan. Saya bermula dengan cerita Yusof Haslam; bahawa hero hidupnya indah selepas selesai menghadapi masalah.

Di upsaid.com/cillc, saya menjumpai ramai teman-teman. Sejati. Kenal saya daripada diri. Di upsaid.com/cillc, saya didewakan, diangkat, diherokan. Saya jadi model, contoh, dewa, mujur saja saya tidak dituhankan.

Saya jadi keliru. Kalau sempurna benar saya, kenapa payah juga yang datang menimpa-nimpa? Kalau ujian itu demi kesabaran dan kebijaksanaan.. Maka masih dangkalkah saya?


........ (ia akan disambung, bilamana ia perlu disambung)